Dalam diri saya ada ihsan, haiwan dan syaitan… ahh!

Sekali lagi, nilai penulisan di Berita Harian (Singapura) membingungkan saya.

Baca:Insan, haiwan dan syaitan dalam jiwa” oleh Rahmad Sakom (3 November 2007)

Penulis berhemat bahawa perbandingan antara haiwan dan perokok (”perokok serupa haiwan”) yang dicetuskan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat itu terlalu keras. Penjelasan Datuk Nik Aziz tentang perbandingan demikian adalah bahawa perokok “tidak menggunakan otak untuk berfikir secara rasional. Walaupun mereka tahu ia (merokok) membawa kerosakan, mereka tetap melakukannya”.

Keras sangat? Kalau kita terima perbandingan atas dasar tersebut, sebenarnya perokok lebih rendah tarafnya dari haiwan kerana, secara amnya, haiwan pandai menjauhkan dirinya dari bahaya (yang ia tahu), contohnya, lipas yang lari dari manusia atau pelanduk yang lari dari harimau. Jelasnya, contoh-contoh seperti lipas yang memakan racun yang dipasang manusia itu tidak tertakluk di bawah perbandingan ini, kerana lipas itu tidak tahu bahawa benda yang dimakan itu sebenarnya racun. Sebaliknya, dengan tersebarnya kempen anti-rokok di mana-mana negara (di Singapura, gambar-gambar ngeri yang memaparkan kesan pada badan dari merokok terdapat di setiap kotak rokok), tiada alasanlah bagi para perokok untuk mengaku tidak tahu akan bahaya rokok.

Penulis kemudian menulis:

Jika alasan menyamakan perokok dengan haiwan dek ‘dah tahu merosakkan tetapi lakukan’, ia menimbulkan tanda tanya.

Mengapa hanya perokok macam haiwan? Bagaimana dengan perompak, perogol, pegawai mengambil rasuah, kaki judi, kaki botol dan penagih dadah? Mereka tahu perbuatan mereka ‘merosakkan’ tapi terus dilakukan.

Mengapa pula pesalah jenis ini dikecualikan daripada dibandingkan dengan haiwan?

Ini sungguh aneh. Pertama, adakah Datuk Nik Aziz mengatakan “hanya perokok serupa haiwan, yang lainnya tidak”? Jelasnya, tidak. Namun penulis menyalahtafsirkan kenyataan sebenar dari Datuk Nik Aziz. Dalam istilah Inggeris, ini jelas sekali dipanggil ‘generalisation’. Keduanya, adakah Datuk Nik Aziz menyamakan antara perokok dan haiwan? Setahu saya, ’serupa’ itu tidak bererti ’sama’; kalau Datuk Nik Aziz mahu menyamakan, tentunya dia mengatakan “perokok itu haiwan” atau “haiwan itu perokok”, atau keduanya sekali. Kalau kenyataan saya sendiri disalahtafsirkan sebegitu, pasti sekali saya rasa penyalahtafsiran itu telah disengajakan untuk memburuk-burukkan saya.

Seterusnya, penulis mengatakan:

Malah jenayah lain itu lebih dahsyat hingga menjejas bangsa, negara dan masa depan insan yang tidak berdosa. (Tidak dinafikan merokok menjejas kesihatan yang empunya diri dan orang yang di sekelilingnya).

Dari ayat pertama, secara implikasi, penulis berpendapat bahawa merokok itu ‘kurang dahsyat’ kerana tidak menjejas bangsa, negara, dan masa depan insan yang tidak berdosa. Mana buktinya? Hasil kajian (format PDF; dalam bahasa Inggeris) yang diterbitkan pada tahun 2002 menunjukkan bahawa pada tahun 1997, ongkos pada masyarakat (”social cost”) dari merokok di Singapura dianggarkan antara S$673 dan S$879 juta. Dari dapatan ini, jelas sekali, masalah merokok menjejas bangsa dan negara.. Kenyataan penulis sendiri bahawa “tidak dinafikan merokok [...] menjejas kesihatan [...] orang yang di sekelilingnya” jelas bercanggah dengan kenyataan bahawa merokok tidak menjejas masa depan insan yang tidak berdosa.

Ya, saya sendiri tidak membuat perbandingan yang teliti. Namun, saya telah mengemukakan fakta yang menunjukkan bahawa masalah rokok itu tidak boleh dipandang remeh. Walau bagaimanapun, adakah perbandingan antara ‘kedahsyatan’ merokok dan ‘kedahsyatan’ sekian-sekian itu dapat menjernihkan maksud penulis? Sama sekali tidak, kerana perbandingan ini tiada kena-mengena dengan perbandingan antara haiwan dan manusia.

Manusia berakal untuk memikirkannya sendiri.

Tetapi adakah haiwan tidak berakal?

Anda pernah lihat bagaimana semut bekerjasama memikul pasir membina sarang? Atau bagaimana lebah menyimpan madu dan betapa beruang bersemangat melindungi anak mereka?

Kerbau atau lembu, jika diberi makan dan tempat tidur, akan setia mengerjakan sawah atau menarik muatan.

Dari tafsiran saya (mungkin betul, mungkin salah; kalau salah, tolong tunjukkan), penulis bermaksud bahawa haiwan itu berakal, kerana penulis telah memberikan contoh-contoh haiwan berkelakuan ‘rasional’ setelah mempersoalkan sama ada haiwan tidak berakal.

Namun seterusnya,

Tetapi menurut budayawan dan bahasawan, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, apa yang dilakukan haiwan itu adalah secara naluri (instinct), setakat menurut apa yang dilakukan oleh haiwan terdahulu dan bukan menunjukkan mereka berakal - kata beliau, ‘haiwan ada akal tetapi tidak berakal’.

Ini lagi aneh. Setelah mengutarakan pendapat bahawa haiwan itu berakal, penulis menukil pula kenyataan Dr Muhd Ariff bahawa haiwan tidak berakal. Jelas sekali, ini lagi satu percanggahan. Bagaimana, demikian? Berakal atau tidak berakal?

Lagi satu kebingungan saya ialah tentang kenyataan Dr Muhd Ariff sendiri. Ada akal tetapi tidak berakal? Setahu saya, imbuhan beR- itu membawa erti ‘ada’, misalnya ‘orang tua itu berjanggut putih’. Dari pemahaman saya (yang mungkin cetek) ini, kenyataan Dr Muhd Ariff itu sendiri suatu percanggahan dan tidak masuk akal. Tapi, ada juga kemungkinan bahawa saya tidak mengetahui erti sebenar istilah ‘berakal’ dalam Bahasa Melayu. Namun, saya tetap berpendapat bahawa ini menjadi suatu kelemahan Bahasa Melayu sendiri: ia tidak dapat menerangkan maksud yang mudah dengan mudah.

Adakah golongan terpelajar itu berakal jika sanggup mencedera atau sehingga membuang anak? Tentulah akal mesti dikaitkan dengan rasa ihsan.

Dalam diri manusia ada tiga gabungan: Ihsan, haiwan dan syaitan (daripada terbaik sehingga terburuk). Itulah sebabnya manusia tergamak membunuh dengan kejam, mengerat-ngeratkan mayat dan macam-macam lagi yang mengerikan. Aneh juga, ayah, datuk dan abang sanggup berbuat sumbang mahram kerana kesyaitanan.

Di sini terdapat kekeliruan tentang maksud ‘berakal’. Sebagai penjelasan, saya mengira ‘berakal’ dan ‘ada akal’ itu sama maknanya (sama ada penulis mempunyai pendirian yang sama, saya masih kabur; namun, ini tidak mustahak). Secara amnya, manusia semua dikurniakan akal. Orang yang terpelajar atau tidak, jika dia melakukan jenayah atau apa-apa perbuatan yang tidak berperikemanusian, adalah kerana dia tidak menggunakan akal. Jadi, tidaklah relevan untuk mempersoalkan bahawa golongan yang terpelajar itu berakal atau tidak.

Oleh itu, tidak perlulah saya tukilkan di sini contoh-contoh perbuatan tidak berperikemanusiaan yang diutarakan oleh penulis.

Secara kebetulan saya menonton siri Animal Planet Showcase awal minggu ini yang menayangkan pengalaman juara selam bebas dunia dari Britain, Tanya Streeter, menyelam di Galapagos (Dive Galapagos) dan menyelam dengan paus (Swim With Whales).

Melihat singa laut mengusik-usik Tanya (mereka meniru setiap gaya Tanya dan bermain lontar-lontar kulit kerang) dan penyu hijau yang menyelam ke permukaan laut yang cetek untuk ‘dibersihkan daripada parasit’ oleh ikan-ikan kecil memaparkan bahawa haiwan seolah-olah berakal tidak setakat ada akal.

Sekali lagi, penulis ingin menerangkan bahawa haiwan itu berakal. Pendirian saya ialah bahawa manusia ada akal (berakal) dan haiwan tiada akal (tidak berakal). Ini adalah pandangan Islam dalam hal akal; menurut sebuah khutbah MUIS, akal yang membezakan antara haiwan dan manusia. (Kalau anda tidak percaya akan kewibawaan MUIS sebab MUIS ada berkali-kali merombak fatwanya sendiri, dipersilakan cari dari sumber-sumber lain; maksudnya lebih kurang sama.) Oleh kerana saya tidak dapat memaksakan pegangan agama ke atas orang lain, cukuplah saya nyatakan sampai sini.

Saya tertanya-tanya mengapakah kelakuan buruk manusia dikaitkan dengan haiwan? Ungkapan ‘Kau memang binatang, tidak berhati perut’ sudah biasa kita dengar.

Tetapi tepatkah andaian itu?

Bak kata juara selam Tanya semasa bergurau dengan singa laut di Galapagos: ‘Saya tidak pasti sama ada saya yang mengamati kelakuan mereka atau singa laut yang mengamati saya.’

Ya, insan yang ihsan dicintai haiwan juga.

Dari kaca mata yang adil, dengan penutup yang sebegini serta contoh-contoh yang sebelumnya, adalah jelas bahawa penulis lebih merenung kepada juara selam dan kelakuan haiwan untuk mencari kebenaran, daripada pendapat ulama atau agama. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, bukanlah niat saya untuk membincangkan hal ini.

Jadi, persoalannya, adakah tepat, ‘andaian’ Datuk Nik Aziz bahawa “perokok [itu] serupa haiwan”? Kalau kita kembali pada penjelasan Datuk Nik Aziz, maksudnya, haiwan itu melakukan perbuatan tidak berdasarkan akal (kerana, jelasnya, ia tiada akal). Perokok yang merokok itu juga melakukan perbuatan yang tidak berdasarkan akal (sebab dia tidak menggunakan akal). Walaupun sebabnya berlainan, keduanya melakukan perbuatan yang tidak berdasarkan akal. Atas sebab ini, perbandingan antara perokok dan haiwan itu memanglah tepat.

Percanggahan-percanggahan serta kekeliruan yang telah saya kemukakan, pada saya, adalah sangat membingungkan. Patutkah kekeliruan ini disebarkan di ruang komentar di akhbar? Saya fikir, tidak.

-

Nota: Tajuknya kata “insan, haiwan dan syaitan” tetapi isinya kata “ihsan, haiwan dan syaitan”; tak percaya, tengok akhbar sendiri. Ini sahaja untuk mengelakkan dari tuduhan yang saya sengaja mengubah ejaan untuk memburukkan bahasa penulis, bagi mereka yang peka.

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*