Coretan sulit

Suatu percubaan untuk menghimpunkan segala apa yang telah tercoret pada dinding-dinding siber semenjak tahun 1999. Komentar tambahan ada di lelaman lama.

lilin
syaitan
pengakuan yang sebenar
terimalah
memori?
lengung
tinggal bersabar
‘nuju ke pelabuhan
puisi seribu malam
rasa rahsia
kata-kata yang tercincang
aku terhenti seketika
yang melemahkan
kau berdarah?
puisi air dengan batu
marilah kita berjihad
percakapan
demi masa
di lantai tingkat 14
sehari di ECP

lilin

cahaya api lilin yang paling malap
bisa menerangi gua yang usang hitam
pada waktu malam yang pekat gelap
bagi sang kelawar yang pernah redam
menantikan api itu padam.

pagi, 5 jun 2008

syaitan

tak guna menanti matinya syaitan
yang berbadan tua bermata kuyu
tapi masih memperkosa kehidupan
orang seperti engkau dan aku

tak guna berbicara dengan syaitan
yang kuncunya guam sarban berjambang
dan hakim songsang anjing suruhan
menghina gugurnya darah pejuang

tak guna menanti matinya syaitan
kerana itulah yang dijanjikan:
bahawasanya kita ‘kan terus ditekan
oleh syaitan, dan anak syaitan
dan cucu-cucu syaitan
hingga ke penghabisan.

1 pagi, 1 jun 2008

pengakuan yang sebenar

demi
demi
demi mata yang masih bisa merenung,
lidah yang masih bisa mengucap
kekata cinta dan sayang, jantung
yang masih bisa berdegap,
tangan yang masih bisa membelai,
yang tidak akan bisa jelak membelai,
dan yang akan terus membelai

walau ada
walau ada kekusutan yang belum tersisir,
perselisihan yang belum terhurai,
ragu-ragu yang belum terusir,
juga damai yang belum tercapai

aku di sini
aku di sini masih menanti
dengan penuh harapan pada Tuhan
menanti sebenar-benar pengakuan
yang mungkin bisa mencetuskan
suatu ketentuan
wahai sayang.

minggu, 18 mac 2007

terimalah

terang-terang
engkau enggan terima sekecil pemberianku; lebih
rela engkau [...]
insan yang [...][?]
menjadikan
aku
lesu dan pasrah;
aku
hampa.

senja, januari 2007

memori?

I

memori adalah:
pahit buah peria muda
jelek parut luka lama
perit tusukan lembing dusta
hantu jembalang pengganggu lena
atau—
manis madu sebuah cinta?

10 disember 2004

II

memori adalah:
merdu lagu penawar rindu
merbak mawar bunga asmara
mengingati dirimu selalu
setiap detik setiap masa

18 april 2006

III

memori adalah:
aku,
kau,
dan mereka.

kini hanya kita berdua,
aku percaya.
aku percaya.
aku percaya.

khamis 11 januari 2007

lengung

lengung mempercepat rangkak waktu yang bening
di kala merenung kosong pada dinding,
rak-rak buku, dan baju-baju yang tergantung
sedang derau hujan dan awan-awan mendung
mengiaskan rona jiwa di suatu petang
yang tidak berapa lama lagi akan hilang.

sabtu, 29 juli 2006, jam 1502

tinggal bersabar

dalam rindu yang tak ‘kan bisa terubat
walau menelan ubat pahit kelat;
tinggal bersabar. dan titis-titis air mata
dalam menahan berat ini dada.

[…]

senin, 24 juli 2006, jam 2047

‘nuju ke pelabuhan

samudera yang sudah bergelora ini
jangan angin lagi mengencang
jangan ribut lagi mendatang
biar datang reda yang damai
agar bahtera hidup bisa terus berlayar
‘nuju ke pelabuhan yang masih samar

biar merintih waktu yang hilang
biar tahun silih berganti
biar
‘kan ku terus berlayar
dan menanti
sampai tiba di pelabuhan.

malam, 2 julai 2006

puisi seribu malam

kalau ‘nitis air mataku malam ini
bukan kerana debu yang melanda
atau hiba yang mengusik jiwa

aku sendiri tidak pasti

mata hati ini berjaga merenung
renungnya tenung tajam dalam
menggali menyelongkar arti suatu kebisuan

benak ini segan sama sekali
bicara kecil sama hati
lalu menanti dan menanti
hingga timbul cahaya pagi

kalau ‘nitis air mataku malam ini
kalau ‘nitis air mataku sekali lagi
hanya rengek sepi pinta hidayah
dari Tuhan.

pagi, 22 jun 2006

rasa rahsia

untuk yang kurahsia

inilah
kata-kata yang tidak terkata
bisikan yang tidak terdengar
warkah yang tidak terhantar
perasaan yang tidak diluah

biarlah
apa yang dikata dikata
apa yang dirasa dirasa
apa yang dirahsia dirahsia
apa yang kau rasa kurasa

25 november 2005

kata-kata yang tercincang

terhanyut di lautan minda
tersesat di hutan falsafah
meneroka gua persoalan
membongkar akar perasaan
mencuba mengisi tempayan jiwa
dengan air hidayah
dari sumur suciNya

inilah himpunan kata-kata
yang tercincang
dari lubuk dada
seorang manusia.

8 disember 2004

aku terhenti seketika

berlari aku
mengejar kertas sehelai
ia terbang jauh
ditiup angin tajam
angin itu semakin laju
kertas itu semakin jauh
tanganku mencapai, menggapai…

aku terhenti seketika
kertas itu kosong.

27 februari 2003

yang melemahkan

bukan

bukan gadis Melayu seksi
yang kulihat menanti MRT
yang ehem!-nya 36 inci
skirtnya pula (wah duh!) tinggi
pehanya tercondong ke kiri
tubuhnya lampai sekali
matanya menjeling ke sana
menjeling ke sini
menjeling ke mari
sampai orang syok sendiri
“amboi… cik adik nak ke mana hari ni?”

bukan

bukan ahli gusti garang
yang tiga suku telanjang
kulit terpampang
otot terpampang
semua terpampang
(kecuali itu barang)
kinjang-kinjang
membanting orang
menghempap orang
terbaring terlentang
bergelim…pang-pang-pang!
bunyi loceng berkumandang
tanda si dia sudah menang…

bukan
bukan
bukan!

namun aku pun tidak mengerti
apa yang telah kukatakan tadi.

29 oktober 2002

kau berdarah?

kau berdarah pejuang?
di sini bukan tempat pejuang
baik kau lari sekarang!
sebelum kau ditembak senapang
yang sentiasa menanti peluang

kau berdarah seni?
pergi kau dari sini!
tempat seni bukan di sini
luahanmu mungkin bererti
namun senapang itu lebih sakti

kau berdarah ilmuwan?
jangan, jangan, jangan
sekali-kali melawan
kebenaran bukan perlindungan
kerana senapang itu tetap baran

kau berdarah menteri?
kami tidak iri
kami tidak benci
kami tidak berani
kerana kami sudah pasti
senapang itu sentiasa menanti

kau berdarah pak imam?
kau pasti tergamam
‘pabila dipaksa bungkam
tentang segala yang haram
senapang itu walaupun diam
entah bila akan berderam…

BAM!
BAM! BAM!

kau berdarah?
kerana senapang itukah?
jangan buarkan darahmu itu
larilah seribu batu.

5 oktober 2002

puisi air dengan batu

seorang insan
mengorak langkah lesu
satu demi satu
di alam hampa suara
di bawah pancaran suria

air riang berkocak, berombak
sekali-sekala melanggar batu
yang hening
hanya bertenggek di tebing

air memula bicara:
“sampai hati kau
menyerap kedinginanku!
sedangkan kau
hanya membatu”

tangkis batu:
“aku adalah batu
apa salahnya aku membatu?
bukankah kau air
yang mengalir?”

air setuju:
“betul juga kata kau tu.
namun tidakkah engkau lesu?
hanya terduduk terpaku di situ
sementara aku bebas
merantau segara luas?”

bantah batu:
“merantau katamu?
ah! kau hanya merambu
bergelombang tidak menentu
apa salahnya aku berkhali?
diam batu pun boleh berisi!”

“tapi kau tak maju.
‘kan sekarang Melayu dah Baru?
kalau tercongok sahaja di situ
lebih baik kau ikut aku!”

“memang kau generasi Baru.
seusang-usang aku membatu
aku bukan sepertimu
yang hanya mengikut kata angin
yang berhembus dingin.
walaupun bungkam
aku sudah banyak makan garam.
kau?
kau hanya air tawar yang laram”

air masih berkocak di tebing
angin bertiup semakin nyaring
air naik melasah tebing
angin berdekah-dekah mengiring
“rasakan kau, batu deging!”

batu tidak bersuara
hendak menggeleng tiada kepala
hendak menggolek tiada tenaga
maklumlah, dah tua bangka.
hanya dapat berdoa sahaja.

insan itu naik bosan
lalu meninggalkan ruang itu
membawa pulang pengajaran
bicara air dengan batu.

8 julai 2002

marilah kita berjihad

marilah kita berjihad
ke jalan allah
menentang tentangan
tamparan
nistaan
asungan
sarwa cabaran
terhadap islam.

marilah kita bermuafakat
cerat maslahat
menyatukan suara sebulat
iman
amal
diperkuat
agar mendapat berkat.

baik diam
daripada berkejam
sedangkan di dalam
kita yang lembam!

2002

percakapan

… kerana foya itu sia
… kerana jaya itu bangga
… kerana kalah itu pasrah
… kerana susah itu tabah
… kerana penat itu semangat
… kerana sungguh itu utuh
… kerana benar itu benar
… kerana salah itu benar.

2002

demi masa

demi masa.
sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal salih
dan nasihat-menasihati
dengan kebenaran
dengan kesabaran.

demi masa yang sedang berlalu.
sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal dalih
dan sesat-menyesati
dengan kekarutan
dengan ketakutan.

demi masa yang terlepas.
sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian
kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal sahih
dan erat-mengerati
dengan kemuafakatan
dengan keyakinan.

2002

di lantai tingkat 14

termenunglah seorang muda
mentah dan duka
mengenangkan hakikat
tersekat
diikat
rantai pemamah harapan
tali penghambat kehidupan
benang pengusik perasaan.

yang tinggal hanya sepucuk pesanan:
“aku dahagakan kebebasan
aku ingin terbang laksana helang
aku mahu merajai langit terbentang…”

tiadakah hari esok?
bagi insan yang sedih ini
berdiri
sendiri
di lantai tingkat 14.

2000

sehari di ECP

sehari di ecp
segala apa pun boleh jadi.

sehari di ecp
mentari pagi menyinari
bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa
keheningan menyelubungi suasana.

sehari di ecp
pemuda-pemudi
berbasikal, berlari-lari anak
kononnya menjamin kesihatan diri.

sehari di ecp
tengah hari menjelang tiba
air naik melasah pantai
samudera mulai bergelora.

sehari di ecp
kanak-kanak
bermandi-manda
kancah riang-ria.

sehari di ecp
para remaja
lagha di sana-sini
serta beromong kosong.

sehari di ecp
asar sudah jemba
warga-warga tua
duduk di bangku-bangku
menghirup secangkir udara senja.

sehari di ecp
masa berlalu seput
sirna tanpa dimaklumi
alangkah ayalnya kita.

sehari di ecp
segala apa pun boleh jadi.

1999

One Trackback

  1. [...] —pagi, 22 jun 2006 « “Dangerous” Please tear along this dotted line [...]

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*