|
Oleh Azahar Mohd
PERATUSAN wanita Melayu yang melahirkan anak luar nikah melonjak ke paras tertinggi sejak sedekad lalu.
Bilangannya mencapai 248 kelahiran tahun lalu, berbanding 240 kelahiran
pada tahun sebelumnya, dan sekitar 200 setahun sepanjang 1997-2003.
Bilangan itu membentuk separuh atau sekitar 51 peratus daripada
keseluruhan kelahiran oleh wanita di luar perkahwinan pada tahun lalu.
Demikian menurut laporan terbaru Pendaftaran Kelahiran dan Kematian
2006 yang dikeluarkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Laporan itu bertujuan memberi gambaran perubahan penduduk, kelahiran dan kematian serta perangkaan lain setiap tahun.
Menurut laporan itu 495 kelahiran didaftarkan tanpa berbinkan bapa
tahun lalu, dengan 35.8 peratus kelahiran melibatkan remaja. Wanita
Melayu membentuk peratusan terbesar dalam kategori itu.
'Dalam tempoh sedekad, ia naik daripada 30.1 peratus pada 1997 kepada
50.1 peratus tahun lalu. Dalam tempoh yang sama, peratusan bagi wanita
Cina terus berkurang,' kata laporan itu.
Sementara itu, lebih ramai bayi dilahirkan tahun lalu dengan kenaikan
2.2 peratus kepada 38,317 bayi, berbanding 37,492 tahun sebelumnya.
Bayi Cina merangkumi 64.3 peratus, Melayu 17.0 peratus, India 10.0 peratus dan lain 8.7 peratus.
Ketika dihubungi, Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Eunice Olsen,
yang membantu menguruskan program remaja hamil di luar nikah, berkata
beliau mahu melihat konsep kasih sayang, perkahwinan dan pendidikan
diterap kepada para pelajar dalam pendidikan seks.
'Dengan ramai remaja terdedah kepada bahan lucah di Internet, cakera
padat video (VCD) dan telefon bimbit, kita perlu memastikan mereka
memahami bahawa seks merangkumi unsur tanggungjawab, kasih sayang dan
pernikahan. Bukan nafsu semata-mata,' ujarnya yang merupakan jurucakap
Babes.
Program Babes
dikelolakan tujuh badan kebajikan - Perkhidmatan Sosial Beyond, Rumah
Tumpangan Andrew dan Grace, Rose Villa, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak
KK (KKH), Pusat Khidmat Keluarga Tanjong Pagar, Family Life Society dan
aLife - membantu remaja hamil luar nikah.
Presiden Clubilya yang juga kaunselor bebas, Cik Muzaiyanah Hamzah,
berkata usaha menangani masalah seks luar nikah tidak harus tertumpu
hanya kepada remaja bermasalah. 'Ini kerana seks juga dilakukan pelajar
ITE, politeknik dan universiti. Mereka mungkin fikir O.K melakukan seks
tetapi kurang memahami tentang sebab dan kesannya,' ujarnya.
|