Oleh
Rahmad Sakom
GINCU, minyak wangi dan wanita seksi.
Tiga perkara ini boleh menggoncangkan iman lelaki.
Hal ini dikupas dan ditegur Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat, seorang alim agama. Ketiga-tiganya menyentuh moral
wanita.
Sebagaimana
dijangka, ramai yang lantang membantah. Memang ini reaksi biasa-biasa
terhadap ulasan Nik Aziz, termasuk pada minggu lalu apabila timbul
ungkapan 'perokok serupa haiwan'.
Mengapa serupa? Menurut beliau, perokok tidak 'menggunakan otak untuk
berfikir secara rasional. Walaupun mereka tahu ia (merokok) membawa
kerosakan, mereka tetap melakukannya'.
Saya rasa perbandingan itu keras sangat.
Jika alasan menyamakan perokok dengan haiwan dek 'dah tahu merosakkan tetapi lakukan', ia menimbulkan tanda tanya.
Mengapa hanya perokok macam haiwan? Bagaimana dengan perompak, perogol,
pegawai mengambil rasuah, kaki judi, kaki botol dan penagih dadah?
Mereka tahu perbuatan mereka 'merosakkan' tapi terus dilakukan.
Mengapa pula pesalah jenis ini dikecualikan daripada dibandingkan dengan haiwan?
Malah jenayah lain itu lebih dahsyat hingga menjejas bangsa, negara dan
masa depan insan yang tidak berdosa. (Tidak dinafikan merokok menjejas
kesihatan yang empunya diri dan orang yang di sekelilingnya).
Maaf, ini bukan bererti saya membela atau menggalakkan merokok, tidak sama sekali.
Manusia berakal untuk memikirkannya sendiri.
Tetapi adakah haiwan tidak berakal?
Anda pernah lihat bagaimana semut bekerjasama memikul pasir membina
sarang? Atau bagaimana lebah menyimpan madu dan betapa beruang
bersemangat melindungi anak mereka?
Kerbau atau lembu, jika diberi makan dan tempat tidur, akan setia mengerjakan sawah atau menarik muatan.
Tetapi menurut budayawan dan bahasawan, Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad,
apa yang dilakukan haiwan itu adalah secara naluri (instinct), setakat
menurut apa yang dilakukan oleh haiwan terdahulu dan bukan menunjukkan
mereka berakal - kata beliau, 'haiwan ada akal tetapi tidak berakal'.
Adakah golongan terpelajar itu berakal jika sanggup mencedera atau
sehingga membuang anak? Tentulah akal mesti dikaitkan dengan rasa ihsan.
Dalam diri manusia ada tiga gabungan: Ihsan, haiwan dan syaitan
(daripada terbaik sehingga terburuk). Itulah sebabnya manusia tergamak
membunuh dengan kejam, mengerat-ngeratkan mayat dan macam-macam lagi
yang mengerikan. Aneh juga, ayah, datuk dan abang sanggup berbuat
sumbang mahram kerana kesyaitanan.
Contoh terbaru ialah kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin di Malaysia dan kes bunuh Nonoi baru-baru ini di sini.
Dalam kes Nurin, tidak setakat kanakkanak itu dibunuh dengan kejam,
gambar autopsi Allahyarhamha Nurin yang menyedihkan turut disebarkan
untuk tontonan... hingga ayah kanak-kanak malang itu menyifatkan mereka
yang menyiarkannya sebagai tidak berperikemanusiaan (macam haiwan?).
Begitu jatuh sekali rasa perikemanusiaan hari ini.
Secara kebetulan saya menonton siri Animal Planet Showcase awal minggu
ini yang menayangkan pengalaman juara selam bebas dunia dari Britain,
Tanya Streeter, menyelam di Galapagos (Dive Galapagos) dan menyelam
dengan paus (Swim With Whales).
Melihat singa laut mengusik-usik Tanya (mereka meniru setiap gaya Tanya
dan bermain lontar-lontar kulit kerang) dan penyu hijau yang menyelam
ke permukaan laut yang cetek untuk 'dibersihkan daripada parasit' oleh
ikan-ikan kecil memaparkan bahawa haiwan seolah-olah berakal tidak
setakat ada akal.
Saya tertanya-tanya mengapakah kelakuan buruk manusia dikaitkan dengan
haiwan? Ungkapan 'Kau memang binatang, tidak berhati perut' sudah biasa
kita dengar.
Tetapi tepatkah andaian itu?
Bak kata juara selam Tanya semasa bergurau dengan singa laut di
Galapagos: 'Saya tidak pasti sama ada saya yang mengamati kelakuan
mereka atau singa laut yang mengamati saya.'
Ya, insan yang ihsan dicintai haiwan juga.