Sajian Berita
Singapura
Luar Negara
Ekoniaga
Ekstra!
Forum
Komentar
Sukan
Dunia Digital
Galeri Seni


Badan Melayu
Bantuan Teknikal
Khidmat Iklan
Lokasi Lelaman
cyberpioneer

Ekstra! : 16 Julai 2007 Mudah cetakE-mel
  Mudah cetak  | E-mel
IDOLA REMAJA

RIHANNA

Turun naik populariti bergantung diri sendiri

Oleh
Adriyanni Amelyus
Mahasiswa Universiti Nasional Singapura

GAYANYA yang seksi terpapar di klip-klip video yang terpapar di saluran MTV Asia mahupun di layar raksasa di Raffles Place.

Ke mana-mana kita pergi, boleh didengar siulan remaja mengalunkan irama Umbrella ataupun dendangan bersahaja mereka yang ingin meniru nyanyian penyanyi belasan tahun ini.

Rihanna - itulah nama yang 'melekat' di bibir para remaja penggemar muzik hip hop.

Baru-baru ini, si seksi yang dimaksudkan betul-betul berada di depan mata saya di Hotel Conrad Centennial.

Wah! Memang seksi!

Kejelitaan semula jadinya menyerlah. Senyumannya manis. Keanggunannya memancar dan beliau kelihatan relaks dan fikirannya cukup matang meskipun usianya baru mencecah 19 tahun.

Tidak sedikit pun Rihanna mempamerkan perwatakan diva yang sering dikaitkan dengan bintang-bintang gah yang disanju ngi tetapi hanya 'lebih gaya'.

Beliau tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Soalan demi soalan wartawan dijawabnya dengan baik dan sopan meskipun bersahaja.

Dewasa Bersama Muzik

Jelasnya, potongan rambut tidak bersimetrik Rihanna bukan satu-satunya tanda perubahan pada gadis kelahiran Barbados ini.

Perubahan lebih ketara terletak pada muziknya yang dianggap jauh lebih matang berbanding dua tahun lalu.

Pada masa itu, beliau mula menggegarkan persada muzik antarabangsa dengan lagu hit, Pon de Replay daripada album pertama, Music of the Sun.

Setelah itu, beliau kembali dengan album kedua, A Girl Like Me yang sekali gus memaktubkan namanya sebagai bakat muda yang tidak harus diperlekehkan.

Pada tahun ini pula, anak buah Jay-Z itu tidak menghampakan.

Dengan albumnya, Good Girl Gone Bad, nama Rihanna memuncak sekali lagi dengan lagu-lagu seperti Umbrella dan Shut Up and Drive yang menguasai carta-carta muzik setempat mahupun antarabangsa.

Bahkan, ada ura-ura beliau ditabalkan sebagai 'Puteri R&B Amerika' yang mampu menyaingi dan mewarisi mahkota 'Ratu R&B', Beyonce Knowles.

Namun, ada yang tertanya-tanya apakah perlu baginya memaparkan imej nakal dan memberontak?

Pada mata kasar saya, Rihanna tidak sedemikian.

Apa agaknya yang ingin beliau buktikan kepada peminatnya?

Adakah imej 'budak nakal' itu sesuai bagi dirinya, artis yang dianggap idola ramai remaja di luar sana?

Penghibur Serba Boleh

'Gadis nakal dalam Good Girl Gone Bad ini sebenarnya melambangkan proses pendewasaan yang sedang saya alami.

'Muzik menjadi wadah untuk saya 'keluar' daripada imej budak baik.

'Saya perlu jujur dengan diri sendiri. Justeru saya tidak tertekan untuk memenuhi tuntutan sebagai idola,' jelasnya.

Nyata bukan semua cita-cita Rihanna sudah tercapai.

Beliau mahu melangkah lebih jauh untuk mendapat pengiktirafan sebagai penghibur serba boleh.

Bahkan, beliau telah mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan dan berharap dapat bergandingan dengan pelakon wanita terkemuka yang amat diminatinya, Hilary Swank.

Rihanna juga enggan namanya 'mati' begitu sahaja.

Beliau akur akan fenomena kepupusan segelintir artis yang popularitinya hangat hanya seketika.

Ia berlaku di era ledakan pop bubblegum tetapi fenomena itu hampir sirna dek perancangan kerjaya yang kurang tepat.

Oleh itu, Rihanna bertekad terus bertahan dan tidak mahu melihat segala penat lelahnya terbazir begitu sahaja.

Takrif Jelita

Ketika ditanya wanita mana paling jelita menurut kaca matanya, pilihan Rihanna adalah rakan seperjuangannya, Alicia Keys.

'Alicia bukan saja dianugerahkan keindahan fizikal tetapi turut memiliki prinsip kehidupan yang mulia, keyakinan diri dan karisma,' katanya.

Nasihatnya kepada mereka yang mahu mengikut jejaknya ringkas sahaja.

'Fokus, fikir sebelum bertindak dan selalu jujur kepada diri sendiri,' tambahnya.

Beliau kemudian beredar selepas menerima isyarat daripada pengurusnya bahawa wawancara 20 minit dengan penulis sudah tamat.


Biodata

Nama sebenar: Robyn Rihanna Fenty

Tarikh lahir: 20 Februari 1988

Tempat lahir: Saint Michael, Barbados

Adik-beradik: Dua adik lelaki, Rorey dan Rajad.

  • Perkara yang anda harus tahu tentang Rihanna
  • 1. Memiliki insurans mencecah nilai AS$1 juta ( $1.52 juta) untuk kedua-dua belah kakinya.

    2. Mula meminati muzik rok dan rok punk pada usia 17 tahun.

    3. Peminat Ashlee Simpson, Linkin Park dan Fallout Boy.

    4. Mengakui namanya tidak begitu digembar-gemburkan di tanah airnya sendiri, Barbados. Sebagaimana katanya: 'Orang Barbados terlalu megah diri. Payah bagi mereka untuk mengucapkan tahniah!'

  • Tiga perkara yang masih belum diketahui peminatnya

  • 1. Sukakan tatu

    2. Pernah menjadi 'tomboy'

    3. Kaki usik dan gemar 'mengenakan' orang.

      Arkib      
     
    NOTA: cyBerita hanya menyimpan arkib laporan Berita selama tujuh hari.

         

     

        Dunia Digital Ekoniaga Forum Komentar Luar Negara Ekstra! Sajian Berita Singapura Sukan Santai Wak Cantuk
    Copyright © 2005 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
    Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne