LAPORAN terbaru Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2006 yang
dikeluarkan oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memang
memprihatinkan. Selain daripada memberi gambaran keseluruhan tentang
pola penduduk, kelahiran dan kematian serta perangkaan lain setiap
tahun, ia mendedahkan perilaku aktif seks remaja Singapura.
Seramai 838 remaja Singapura berusia bawah 19 tahun melahirkan anak
tahun lalu, berbanding 853 kelahiran pada 2005. Yang sudah dijangka
tentu lebih separuh daripada kelahiran itu melibatkan remaja perempuan
Melayu. Sebaliknya remaja daripada kaum lain mencatatkan penurunan.
Dari segi anak luar nikah, ia melaporkan 495 kelahiran dengan 35.8
peratus melibatkan remaja. Sekali lagi wanita Melayu juga membentuk
peratusan terbesar dalam kategori ini.
Sebenarnya kes remaja Melayu kian aktif seks telah lama didedahkan.
Namun hanya lima tahun terakhir ini baru diadakan kempen seperti
'Katakan Tidak Pada Seks' dan seumpamanya. Ertinya sebagai masyarakat,
orang Melayu lambat menguruskan masalah sosio-ekonominya. Sering
masalah ini berselirat kaitannya dengan kemantapan keluarga Melayu yang
kerap diancam perceraian, kegagalan bapa menyara keluarga dan kurang
didikan moral atau agama.
Oleh itu, kempen dan apa jua usaha badan-badan Islam untuk membendung
pe rilaku belia kita perlu diperhebat. Mentelah belia kita membentuk
peratusan paling tinggi berbanding belia dalam masyarakat lain. Memang
dari segi luaran, terpapar 'kesulitan' yang ditimbulkan oleh golongan
belia kita. Padahal, yang sebenarnya tersaji potensi jika azam, intelek
dan usaha mereka dapat dipupuk dan disalurkan dengan betul lagi
terarah. Ini menuntut strategi jangka panjang dengan pelibatan aktif
ibu bapa.
Di sebalik
kemajuan kita membina masjid moden yang serba lengkap, kita perlu terus
memastikan golongan belia akan terserap. Citra 'malu' pada perilaku
perlu ditancapkan dalam jiwa mereka demi memelihara maruah diri,
keluarga dan masyarakat. Perlu dipupuk lebih ramai belia yang boleh
menjadi rakan pembim bing. Golongan dewasa atau ibu bapa perlu
sama-sama meluangkan masa untuk mendampingi anak muda. Dengan
memaparkan rasa kepedulian dan mengatur program yang bermakna, potensi
belia kita akan dapat dijana. Bagi yang sudah terlanjur, usahakan jalan
kembali untuk mereka dan bagaimana bayi mereka dapat meraih keihsanan.